Hajiji bersama pengamal media.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama pengamal media Sabah di Magellan Sutera Resort di sini, malam ini.
Antara yang hadir ialah Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Mariah Doksil, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Datuk Jimmy Goh, ketua-ketua pengarang, ketua biro serta lebih 200 pengamal media.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar serta ketua-ketua jabatan.
Dalam ucapan alu-aluannya bagi pihak Ketua Menteri, Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri (JKM), Datuk Lucy Irene Yong merakamkan penghargaan atas komitmen dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, sama ada melalui media Kerajaan, arus perdana mahupun media sosial.
Beliau berkata, media memainkan peranan yang amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Kami menghargai peranan media dalam menjelaskan dasar-dasar kerajaan dengan jelas, di samping menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk tindakan.”
Namun katanya, walaupun peranan media masa kini menuntut kepantasan, ia tidak seharusnya mengorbankan ketepatan.
“Dalam era lambakan maklumat, media yang berkesan ialah media yang menyampaikan berita yang disahkan, sekali gus menjadi rujukan utama kepada masyarakat dalam membentuk fakta yang tepat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pejabat Media dan Komunikasi akan terus memastikan semua laporan dan berita berkaitan Kerajaan Negeri serta Ketua Menteri disalurkan dengan segera dan tepat kepada media untuk disebarkan melalui platform masing-masing.
“Kami juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak media,” katanya.






























