KOTA KINABALU: Cadangan projek Kinabalu Cable Car di kawasan Kundasang, Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dengan mengutamakan prinsip pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, sebarang pembangunan melibatkan Gunung Kinabalu perlu melalui penilaian menyeluruh kerana kepentingannya sebagai warisan semula jadi negeri.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Jesselton International Sdn. Bhd. berhubung pembentangan cadangan projek berkenaan serta laporan kajian kebolehlaksanaannya.
Menurutnya, Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi.
“Sehubungan itu, sebarang pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif,” katanya.
Jafry berkata, kementerian menyokong pembangunan yang mampu memberi manfaat ekonomi serta meningkatkan pengalaman pelancongan, namun pelaksanaannya perlu dikawal rapi.
Katanya, aspek kapasiti tampungan pelawat perlu diambil kira bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif di kawasan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa contoh pembangunan cable car di Tapak Warisan Dunia UNESCO di peringkat antarabangsa yang dilaksanakan secara terkawal.
Antaranya ialah Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia, Teleférico del Teide di Teide National Park, Sepanyol serta Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China (Wulingyuan Scenic Area).
Selain itu, contoh lain termasuk Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil yang menunjukkan pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan dengan impak minimum terhadap alam sekitar.
“Pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti ini boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian serta meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan.
“Namun, pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.
Beliau menegaskan pendekatan ‘conservation first’ perlu dijadikan asas utama dalam menilai cadangan projek berkenaan.
Katanya, sebarang pembangunan tidak boleh menjejaskan habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.
Selain itu, cadangan projek juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual.
Jafry berkata, penggunaan teknologi hijau dan reka bentuk mesra alam juga perlu diberi penekanan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.
“Sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Taman-Taman Sabah dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau menambah, kementerian kekal komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari.
































