Mohd. Zuki Ali
KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) melantik Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus serta strategi pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.
Mohd. Zuki, bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia, membawa pengalaman luas dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan di peringkat tertinggi, selain memiliki pemahaman mendalam mengenai institusi dan dasar negara.
Pelantikan beliau dijangka akan memperkukuh hala tuju strategik KTC serta meningkatkan penglibatan dengan pihak berkepentingan merangkumi sektor awam dan swasta.

Dexter Lau
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Mohd. Zuki, sambil menyifatkan pengalaman kepimpinan serta pemahaman beliau terhadap keutamaan negara akan memberi panduan berharga dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan membina organisasi yang berdaya tahan serta berpandangan ke hadapan.
Beliau berkata, seiring pengembangan operasi Kumpulan, KTC akan menjadikan Malaysia Timur sebagai hab strategik bagi pertumbuhan nasional dan serantau, di samping terus bekerjasama rapat dengan rakan industri untuk meningkatkan kesalinghubungan rantaian bekalan serta memacu inisiatif pengembangan dan pelaburan di seluruh Malaysia dan rantau ini.
KTC kekal komited dalam menyokong kecekapan rantaian bekalan dan memperluas akses pasaran, khususnya di Malaysia Timur, selain memperkukuh asas bagi pertumbuhan mampan di peringkat nasional dan serantau.
Mohd. Zuki akan berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, dengan peranan menyediakan pemantauan serta panduan strategik kepada Lembaga Pengarah selaras dengan keutamaan jangka panjang Kumpulan.
































