Tun Musa bersama Hajiji dan tetamu lain pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M Istana Seri Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag antara tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M di Istana Seri Kinabalu di sini, hari ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh harmoni itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri, barisan Menteri Kabinet, Pembantu-Pembantu Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), konsul kehormat dari negara asing serta pegawai kanan kerajaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang menyajikan pelbagai hidangan tradisional, diiringi persembahan yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi bergambar bersama Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan sebagai simbol penghargaan serta kenangan kepada para tetamu yang hadir.

Hajiji mengiringi Tun Musa di Masjid Negeri hari ini.
Terdahulu, Tun Musa bersama Hajiji turut menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Negeri Sabah.
Sejurus ketibaan kira-kira jam 7.25 pagi, Tun Musa bersama isteri disambut oleh Ketua Menteri; Speaker, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Islam, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab.
Kehadiran ribuan jemaah mencerminkan semangat perpaduan dan kesyukuran dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang diraikan bersama penuh kesederhanaan dan keharmonian.
Selesai solat, para jemaah turut mengambil kesempatan bermaaf-maafan serta bertanya khabar, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Sambutan Aidilfitri di peringkat negeri itu jelas memperlihatkan semangat kebersamaan antara pemimpin dan rakyat, selari dengan nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam.
































