Tun Musa diiringi oleh Hajiji dan Dr. Sabin bergambar bersama anak-anak yatim dan asnaf yang menerima sumbangan.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr.) Musa Haji Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Haji Tussin berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Magellan Sutera Resort, di sini, malam ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu-Pembantu Menteri dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah.
Keberangkatan tiba Tun Musa dan isteri pada jam 6 petang disambut pengurusan tertinggi DBKK serta pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan.

Hajiji mengiringi Tun Musa menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan asnaf.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf serta masjid-masjid, sebagai tanda keprihatinan sempena Ramadan, diikuti tazkirah dan bacaan doa.
Tepat jam 6.29 petang, hadirin berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Para tetamu kemudiannya menikmati jamuan makan malam yang diserikan dengan persembahan selingan, sebelum bersama-sama menunaikan solat Isyak,solat sunat Tarawih dan seterusnya moreh.
































