Kasim Muda
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan satu mayat lelaki di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 10.27 pagi daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang memaklumkan penemuan mayat dalam keadaan terapung di tepi sungai berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, pasukan polis yang berada berhampiran telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati,” katanya.
Identiti si mati dikenal pasti sebagai seorang lelaki berstatus Pemastautin Tetap (pemegang Kad Pengenalan MyPR) berumur 34 tahun.
Kasim berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.
Mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut.






























