Dr. Joachim menerima sumbangan daripada Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah, yang diserahkan oleh Yong di pejabat beliau.
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah atas sumbangan tunai sebanyak RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah, Raymond Yong dan diterima sendiri oleh Dr. Joachim di pejabatnya kelmarin.
Dr. Joachim berkata, bantuan kewangan berkenaan disalurkan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir, khususnya di kawasan Kota Marudu, serta kawasan lain yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

“Kerjasama dan keprihatinan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah amat kita hargai.
“Sumbangan ini mencerminkan semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam membantu mereka yang sedang menghadapi kesukaran,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut hari ini mewakili kepimpinan parti menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini di Kampung Sungoi Darat dan Kampung Masalog, Kota Marudu.

“Diharapkan bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban dan membantu memenuhi keperluan harian keluarga yang terkesan,” kata Dr. Joachim.
Beliau berkata, usaha membantu mangsa bencana memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan kebajikan, sektor swasta dan individu perseorangan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I berharap lebih banyak organisasi dan pihak tampil menghulurkan bantuan demi kesejahteraan rakyat yang terjejas, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran.
“Sumbangan ini adalah manifestasi keprihatinan serta solidariti terhadap penduduk yang sedang menghadapi ujian musibah,” katanya.
































