James (tiga dari kiri) bersama Guru Besar S.K. Bawang K9, Fredy Maginjoh (dua dari kiri).
BELURAN: Sekolah Kebangsaan (S.K.) Bawang K9, Tangkarason Beluran yang berada dalam kawasan daerah Paitan mengalami kerosakan yang amat serius susulan bencana banjir baru-baru ini. Hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan sekolah dilaporkan rosak sepenuhnya, sekali gus memberi kesan besar terhadap kelangsungan sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, penilaian awal mendapati sekolah berkenaan memerlukan dengan kadar segera sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta 5 set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran.
Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan buah kelas turut terjejas dan memerlukan whiteboard serta Smart TV baharu.
Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks telah musnah, manakala 30 buah laptop dan 8 set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan.
Selain itu, kerosakan turut melibatkan bilik pusat sumber, tandas serta bilik mesyuarat sekolah. Sebanyak 10 buah tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
“Situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan yang pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid.
“Sehubungan itu, saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin,” kata semasa melawat sekolah tersebut.
Beliau juga menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan dengan segera kepada kementeriannya sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan masing-masing agar tindakan awal dapat diambil dan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.
“Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
































