James (tiga dari kanan) bersama barisan pengurusan Aras Integrasi.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) sedang merangka langkah strategik bagi memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam sektor pendidikan negeri ini, selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 serta aspirasi pembangunan modal insan Sabah.
Menteri KPSTI, Datuk James Ratib berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke Aras Integrasi Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembangunan teknologi AI, di Menara TM, di sini, kelmarin, bagi meneroka peluang kolaborasi strategik dalam pembangunan dan penerapan teknologi AI untuk pendidikan di Sabah.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan konsep One Staff/One AI, yang dicadangkan untuk dimulakan di peringkat KPSTI sebelum diperluaskan ke kementerian lain. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan literasi serta keupayaan penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam dan sektor pendidikan.
Selain itu, pembangunan modul AI khusus untuk Institut Pendidikan Guru (IPG) turut diberi penekanan bagi memastikan para pendidik dilengkapi kemahiran digital dan teknologi terkini, sejajar dengan keperluan sistem pendidikan semasa.
“KPSTI juga melihat potensi untuk membangunkan modul AI yang selari dengan silibus buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Dalam masa yang sama, James menegaskan kepentingan pembangunan penyelesaian AI luar talian (offline AI solutions) bagi memastikan pelajar serta warga pendidik di kawasan pedalaman dan kawasan yang mempunyai capaian internet terhad tidak tercicir daripada arus pembelajaran digital.
Tambah beliau, usaha membangunkan platform AI pelbagai bahasa, termasuk bahasa dan dialek tempatan Sabah, turut diketengahkan sebagai pendekatan inklusif yang mengambil kira kepelbagaian latar belakang pelajar serta realiti sosiobudaya negeri ini.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Pengerusi Aras Integrasi, Dato’ Che Nasir Salleh; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dennis Looi; Ketua Pegawai Perniagaan, Effie Rizal; Ketua Pegawai Operasi, Sam Wong; serta Ketua Pegawai Kewangan, Tan Chee Keong. Delegasi KPSTI pula terdiri daripada menteri dan beberapa pegawai kanan kementerian.
James berkata, Kerajaan Negeri kekal komited untuk memanfaatkan teknologi AI secara inklusif, beretika dan bertanggungjawab bagi memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti, saksama serta bersedia menghadapi masa depan, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

































