KOTA KINABALU: Pengguna komersial dan industri voltan rendah yang menyertai skim Off-Peak Tariff Rider (OPTR) layak menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi penggunaan elektrik semasa waktu luar puncak, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
Skim ini membantu perniagaan mengurangkan kos operasi dengan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas tarif tenaga (kWj) bagi penggunaan elektrik pada waktu luar puncak, iaitu dari 10.01 malam hingga 7.59 pagi.
Ia membolehkan perniagaan yang beroperasi lewat malam atau mempunyai faktor beban tinggi mengoptimumkan bil elektrik bulanan.
Pelaksanaan OPTR bertujuan menggalakkan penggunaan elektrik di luar waktu puncak, meningkatkan kecekapan sistem bekalan elektrik serta membantu pengguna, khususnya sektor komersial dan industri, mengurangkan kos operasi melalui kadar tarif yang lebih rendah.
OPTR disasarkan kepada pengguna komersial dan industri yang mempunyai fleksibiliti operasi untuk mengalihkan penggunaan elektrik ke waktu luar puncak, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Sabah Electricity.
Makluman lanjut mengenai skim ini boleh didapati melalui sesawang Sabah Electricity di www.sesb.com.my.
































