Masidi bersama Dr. Roniyuzam dan rombongan.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan Hospital Ranau yang diketuai Pengarahnya, Dr. Roniyuzam Abdul Malek bagi membincangkan usaha penambahbaikan kemudahan kesihatan di daerah Ranau.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Hospital Ranau membentangkan taklimat berhubung cadangan menaik taraf hospital berkenaan kepada status Hospital Pakar Minor.
Taklimat itu merangkumi perancangan penambahan fasiliti baharu, termasuk peningkatan kemudahan pesakit, penyediaan mesin imbasan terkini, serta langkah-langkah bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan perubatan kepada orang awam.
Turut dibentangkan ialah cadangan pembinaan bangunan baharu di kawasan sedia ada Hospital Ranau yang akan dilengkapi dengan wad pesakit, unit diagnostik dan pengimejan perubatan, ruang rawatan klinikal, serta pelbagai kemudahan sokongan perubatan yang lebih lengkap.
Projek ini juga merangkumi peluasan kawasan tempat letak kereta bagi keselesaan pesakit, keluarga dan pengunjung hospital.
Selain itu, pembinaan klinik kesihatan di lokasi-lokasi strategik turut dicadangkan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi penduduk kampung terpencil yang tinggal jauh dari hospital daerah.
Cadangan pembangunan ini dijangka dapat meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan, sekali gus mengurangkan keperluan rujukan pesakit ke hospital di luar kawasan.
Masidi menyambut baik cadangan tersebut dan menegaskan komitmen Kerajaan Sabah untuk terus memperkukuh sistem kesihatan awam selaras dengan keperluan rakyat di seluruh negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan perancangan rapi serta pelaksanaan berperingkat agar setiap pembangunan dapat memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak hospital agar sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan, memastikan setiap pesakit dilayan dengan mesra dan profesional, serta mengekalkan etika kerja dan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang.





























