Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus, dengan syarat pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka.
Ketua Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut berkata, kenaikan tarif tersebut wajar dipertimbangkan sekiranya ia disusuli dengan penambahbaikan menyeluruh oleh Sabah Electricity, khususnya dalam aspek pengurusan, keupayaan teknikal dan sumber manusia.
Beliau mengulas pelaksanaan tarif elektrik baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Febaruari, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Christoper berkata, selaras dengan itu, peningkatan kecekapan operasi amat penting bagi memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang lebih baik dan stabil.
“Dengan kenaikan ini, saya mengharapkan pengurusan Sabah Electricity akan menjadi lebih cekap, jumlah tenaga kerja ditambah serta keupayaan teknikal dipertingkatkan bagi membantu mengurangkan gangguan elektrik yang sering berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama dari segi kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kecekapan penyelenggaraan infrastruktur.
Pemuda PBS berharap Sabah Electricity dapat mengambil pendekatan lebih prihatin terhadap keperluan pengguna, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.






























