James (lima dari kanan) menerima Memorandum Pendidikan SJK(C) Sabah daripada Lim.
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib menegaskan isu kekurangan guru yang berpanjangan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sabah memerlukan perhatian serius serta tindakan segera.
Beliau berkata, kekurangan guru bukan sahaja menjejaskan kualiti pengajaran, malah memberi kesan terhadap operasi harian sekolah. Sehubungan itu, usaha penempatan guru terlatih tempatan perlu diperkukuhkan bagi memastikan guru yang dilatih di Sabah dapat terus berkhidmat di negeri ini.
“Isu kekurangan guru di SJKC perlu ditangani melalui pendekatan yang praktikal dan bersepadu supaya sistem pendidikan di Sabah kekal berkualiti dan inklusif,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Negeri Sabah (Sabah Dong Lian) di pejabatnya, kelmarin.
Dalam pertemuan tersebut, delegasi telah menyerahkan satu Memorandum Pendidikan yang memperincikan cabaran dihadapi sekolah-sekolah berkenaan, khususnya berkaitan masalah kekurangan guru.
Pengerusi Sabah Dong Lian, Datuk Ben Lim Kiat Kong berkata, lawatan itu bertujuan menyampaikan secara langsung isu kronik kekurangan guru yang masih membelenggu SJKC di Sabah.
Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan sokongan lebih menyeluruh, khususnya dari segi dasar serta pelaksanaan langkah-langkah praktikal bagi membantu sekolah-sekolah terlibat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada komuniti pendidikan Cina di Sabah atas komitmen berterusan mereka terhadap prinsip “pendidikan untuk semua”, yang memberi manfaat kepada pelajar pelbagai kaum serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri.
James turut memuji semangat tersebut dan menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara kerajaan dan pihak sekolah bagi memastikan masa depan pendidikan Sabah terus maju dan seimbang.
Kedua-dua pihak optimis bahawa melalui komunikasi serta kerjasama berterusan, sistem pendidikan di Sabah dapat terus diperkukuh.
































