Dr. Joachim mempengerusikan Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mempengerusikan Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Mesyuarat bertujuan membincangkan persiapan dan perancangan awal bagi acara tahunan terbesar tersebut, yang disambut sepanjang bulan Mei.
Turut hadir Pembantu Menteri I, Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap KKRU, Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Suman Yasambun, Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip, pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan, serta ahli jawatankuasa penganjur lain.
Mesyuarat itu turut menetapkan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada 1 Mei 2026 nanti.
Menurut Dr. Joachim, Kaamatan menjadi platform penting untuk memelihara warisan budaya Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan semangat komuniti seluruh negeri.
Beliau berkata, perayaan pesta ini menekankan semangat perpaduan serta usaha menjaga budaya dan adat resam warisan turun-temurun masyarakat Sabah.
Katanya, Kaamatan bukan sahaja menjadi medan meraikan hasil tuaian, tetapi juga simbol keharmonian dan kekayaan budaya masyarakat Sabah yang sentiasa dipertahankan daripada generasi ke generasi.


































