Joniston membuat tinjauan pelaksanaan naik taraf jalan di kawasan bandar bersama Wong serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai DBKK.
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Joniston Bangkuai mengadakan lawatan tapak ke Projek Menaik Taraf Permukaan Jalan Raya di Jalan Gaya, Blok D, di sini, hari ini.
Lawatan itu bertujuan meninjau pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan serta memastikan infrastruktur sedia ada berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk kegunaan orang ramai.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Robert Lipon serta ketua-ketua jabatan dan pegawai DBKK.
Menerusi lawatan itu, Joniston berkata, kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan serta pembersihan permukaan jalan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan kawasan berkenaan kelihatan kemas dan bersih, seiring dengan imej Jalan Gaya sebagai antara lokasi tumpuan ramai.
Menurutnya, aspek kebersihan dan penyelenggaraan kawasan perlu diberi perhatian berterusan bagi menjamin keselesaan pengunjung serta peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi tersebut.
Jalan Gaya, Blok D dijangka dibuka semula pada 30 Januari 2026 bagi penganjuran Api-Api Night Food Market dan Tamu Minggu Gaya Street, sekali gus membolehkan kira-kira 18 penjaja Api-Api Night Market dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.
Orang ramai dan para penjaja turut dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan demi memastikan keselesaan dan kelancaran penganjuran aktiviti di kawasan berkenaan.
































