KOTA KINABALU: Bantuan segera yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan di Menggatal yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, telah tiba di sekolah berkenaan hari ini.
Bantuan tersebut merangkumi peralatan penting termasuk perabot bagi menggantikan kemudahan yang rosak akibat bencana itu.
Kesemua bantuan diselaraskan bersama Pejabat Pendidikan Negeri Sabah bagi memastikan pelajar dan guru dapat kembali menjalani sesi pembelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.
Selain itu, bantuan lain yang telah diumumkan sebelum ini akan disalurkan secara berperingkat dan dijangka menyusul dalam masa terdekat, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan proses pemulihan sekolah-sekolah yang terjejas dapat dilaksanakan secara menyeluruh.


































