Mustapha Sakmud
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan komitmen untuk memperkukuh agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau menyokong penuh tekad Perdana Menteri dalam memastikan kedua-dua wilayah ini terus menjadi rakan strategik penting dalam pembangunan Malaysia.
Katanya, Kerajaan MADANI kekal beriltizam memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur, serta penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Sementara itu, Sabah turut diberi keutamaan melalui usaha mempercepat projek pembangunan asas, meningkatkan kemudahan awam dan merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah secara menyeluruh.
“Penekanan berterusan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip. Manfaat pembangunan ini diharap dapat dinikmati terus oleh rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Mustapha juga mengalu-alukan langkah Kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.
Inisiatif perumahan rakyat, termasuk Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia, turut mencerminkan pendekatan holistik Kerajaan MADANI yang berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Usaha berterusan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana wilayah mahupun negeri,” katanya, menegaskan bahawa Sarawak dan Sabah terus menjadi rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah, agar terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan prinsip MADANI, sejajar dengan aspirasi Segulai Sejalai dan Sabah Maju Jaya.
Mustapha menegaskan bahawa sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan adalah penting bagi memastikan segala inisiatif pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat bersama.
































