AK Jamaluddin Pg. Mohd. Yassin
BONGAWAN: Kredibiliti calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Bongawan, Datuk Mohamad Alamin wajar dipersoalkan kerana pembangunan di kawasan itu masih tidak mencapai harapan rakyat walaupun beliau hampir dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kimanis.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bongawan, AK Jamaluddin Pg. Mohd. Yassin berkata, kegagalan ini jelas apabila janji Mohamad semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis 2020, iaitu pembinaan Mini Stadium Kimanis dan penubuhan Kolej Komuniti Kimanis, masih belum ditunaikan.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua projek itu digambarkan sebagai inisiatif penting untuk memperkasakan belia, hakikatnya selepas hampir lima tahun, penduduk Kimanis dan Bongawan masih menunggu janji yang tidak menjadi kenyataan.
“Mini Stadium Kimanis yang dijanjikan Mohamad langsung tidak dibina, manakala Kolej Komuniti Kimanis, yang telah diluluskan ketika Tan Sri Anifah Aman menjadi Ahli Parlimen Kimanis, juga tidak menerima sebarang tindakan susulan daripada Mohamad, menyebabkan ia tidak pernah diwujudkan.
“Bagaimana rakyat boleh mempercayai janji pembangunan baharu sedangkan rekod beliau menunjukkan kegagalan berulang kali untuk menunaikan komitmen terhadap golongan belia, kumpulan yang beliau sendiri dakwa ingin diperkasakan?
“Inilah perbezaan jelas antara pemimpin ‘trendsetter’ seperti Tan Sri Anifah, calon GRS bagi Bongawan, dan Mohamad yang dahulunya merupakan protégé beliau tetapi tidak mampu memenuhi keperluan Bongawan.
“Justeru, bagaimana beliau mahu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan sedangkan ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis pun, pembangunan di Bongawan kekal stagnan, lebih buruk lagi dengan beban tambahan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri,” kata Jamaluddin dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa kerana sebab inilah ramai pihak, termasuk dalam kalangan ahli Umno di Kimanis, merasakan Mohamad bersikap “tamak” apabila tetap mahu bertanding di Bongawan sedangkan peluang itu sepatutnya diberi kepada pemimpin muda.
Beliau berkata Mohamad masih boleh menyumbang kepada Bongawan dalam peranannya sebagai Ahli Parlimen Kimanis, memandangkan kawasan Parlimen itu turut merangkumi Bongawan, tanpa perlu bertanding di peringkat DUN.
“Apabila beliau sendiri belum menunaikan tanggungjawab dan menyelesaikan janji sebagai Ahli Parlimen Kimanis, dengan banyak komitmen masih tertunggak, mengapa mahu menambah beban dengan menjadi ADUN Bongawan pula?
“Sebagai Ahli Parlimen Kimanis, beliau sudah pun mempunyai kuasa untuk membantu Bongawan termasuk Membakut, jadi mengapa tetap mahu menjadi ADUN? Ketamakan selalunya memakan diri.
“Biarlah orang yang lebih berpengalaman, lebih banyak masa dan mempunyai rangkaian lebih kuat, seperti Tan Sri Anifah, tampil membantu tanpa perlu memegang kedua-dua jawatan Ahli Parlimen dan ADUN. Dahulu, ketika Tan Sri Anifah menjadi Ahli Parlimen Kimanis, beliau dibantu oleh dua ADUN berlainan,” katanya.
Jamaluddin berkata, kelemahan Mohamad bukan hanya pada kegagalan projek besar, tetapi turut merangkumi isu semasa, termasuk sisa runtuhan deretan kedai lama yang terbakar di pekan Bongawan.
Beliau berkata, kawasan terbengkalai itu dan keadaan tapak kedai yang terbakar yang tidak diselesaikan sejak sekian lama jelas melambangkan kelemahan pengurusan serta kurangnya keprihatinan Mohamad terhadap isu sebenar di lapangan.
“Keadaan ini menunjukkan Mohamad tidak mempunyai kemampuan untuk merancang, melobi atau memastikan pelaksanaan projek pembangunan, hatta yang kecil sekalipun.
“Dengan rekod prestasi yang lemah, janji kepada belia yang tidak ditunaikan dan ketiadaan usaha menyelesaikan isu asas di kawasannya sendiri, beliau bukan calon yang sesuai untuk diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17,” katanya.
Jamaluddin menegaskan kelemahan Mohamad semakin ketara apabila beliau bergantung kepada pemimpin tertinggi Umno dari Semenanjung untuk menggerakkan kempen di Bongawan.
“Ini menunjukkan beliau bergantung kepada pemimpin Semenanjung, bukan kemampuan sendiri atau jentera akar umbi yang terdiri daripada masyarakat Bongawan.
“Kebergantungan kepada pihak luar jelas membuktikan beliau tidak yakin dengan jentera tempatan sendiri, yang terdiri daripada rakyat di sini, tanpa ‘penyelamat’ dari Semenanjung.
“Perkara ini juga merupakan tamparan kepada perjuangan Sabah selama ini untuk mendapatkan autonomi politik sejajar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia turut memberi gambaran bahawa Sabah, khususnya Bongawan, kekurangan pemimpin sehingga perlu bergantung kepada pihak luar,” katanya.
Oleh itu, Jamaluddin berkata, rakyat Bongawan memerlukan wakil yang bukan sahaja mampu berkhidmat tetapi juga seorang patriot dan pejuang sebenar MA63, seperti Anifah.
Beliau berkata, perjuangan panjang Anifah dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63 sudah terbukti, termasuk ketika beliau terpaksa “melawan arus” semasa menjadi Ahli Parlimen Kimanis dan sebagai Menteri Luar Negeri di bawah kerajaan BN sebelum ini.


































