KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara telah mengadakan Program Borneo Creative & Culture District (BCCD) 2025, sebuah festival seni dan budaya di Kampung Warisan Sabah (Fasa II), Muzium Sabah, di sini, dari 21 hingga 23 November.
Perasmian disempurnakan oleh Dato’ Mohd. Yusri Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC. Turut hadir ialah Datuk Josie Lai Mei Sing, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Rohana Mohd. Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara; pegawai-pegawai kanan MOTAC; wakil jabatan dan agensi; rakan kerjasama; serta para penggiat seni.
BCCD 2025 dianjurkan dengan visi untuk menjadi pusat kreatif dan budaya yang inklusif serta dinamik, bertujuan memperkasa seni dan budaya di peringkat serantau.
Program ini bertindak sebagai platform untuk membangunkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sektor seni dan budaya dalam membina ketamadunan negara, sekali gus memperkukuh jalinan masyarakat.
Selain itu, BCCD 2025 turut menggalakkan penglibatan masyarakat melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya, sejajar dengan usaha memelihara keharmonian dan memupuk perpaduan.
Program yang julung kali diadakan ini menghimpunkan penggiat seni bukan sahaja dari Sabah, malah dari Sarawak, Brunei dan Kalimantan. Antara yang terlibat ialah Ruas Garis, Sukaseni Malaysia, Borneo Bengkel, Pangrok Sulap, Haus KCH, Susur Galur, Asgardian Art, Persatuan Seni Visual Sabah, Sabah Youth Network for Creatives, Labuan Visual Art Association, University College Sabah Foundation, serta Sekolah Seni Malaysia Sabah.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program, termasuk pengalaman seni interaktif di ruang terbuka menerusi Art in the Park, selain meninjau Artisan Market yang menghimpunkan kira-kira 40 usahawan seni dan kraf dari Sabah, Labuan dan Borneo. Pelbagai bengkel, demonstrasi dan pameran turut dijalankan secara kolaboratif bersama komuniti seni tempatan, memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta secara langsung dalam aktiviti seni.
BCCD 2025 juga menampilkan forum dan sesi perkongsian bersama penggiat seni serta usahawan kreatif, di samping persembahan seni dan kebudayaan yang memaparkan keindahan warisan Borneo secara tradisional dan kontemporari melalui muzik, tarian serta persembahan visual.
Balai Seni Negara turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Balai Seni Lukis Sabah, Muzium Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Tourism Malaysia, Sabah Tourism Board, Hello Sabah serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran program ini.
Penganjuran BCCD 2025 diharap mampu menjadi pemangkin kepada penganjuran program seni dan budaya pada masa hadapan, selain terus memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan dan serantau untuk bersama-sama memartabatkan warisan seni Borneo ke peringkat yang lebih tinggi.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program anjuran Balai Seni Negara, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.
































