Joeynodd (tengah) bergambar bersama dengan media dan Ketua Bahagian PBS Moyog, John C. Masabal (tiga dari kanan)- Foto Jabatan Penerangan.
PENAMPANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Ir. Ts. Joeynodd Bansin berkata, beliau akan mengangkat suara rakyat Moyog melalui agenda pembangunan holistik yang memfokuskan belia, wanita, infrastruktur, teknologi dan budaya setempat sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Ke-17.
Joeynodd, anak jati Penampang dari Kampung Penampang Proper berkata, latar belakangnya sebagai jurutera profesional dengan lebih 10 tahun pengalaman menjadi asas untuk menawarkan penyelesaian praktikal terhadap pelbagai masalah di Moyog.
“Antara tonggak manifestonya ialah memperkasakan usahawan belia melalui penyediaan insentif, dana permulaan serta latihan digital bagi membina generasi muda yang lebih berdaya saing dalam ekonomi moden. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan beliau ke Pusat Media PRU ke Jabatan Penerangan, hari ini.

IR TS Joeynodd Aiko Ronald C Bansin
Selain itu, katanya, wanita turut menjadi keutamaan dalam visinya, khususnya golongan ibu tunggal dan mereka yang berdepan cabaran kesihatan fizikal, mental atau ekonomi, agar tidak terpinggir daripada pembangunan masyarakat.
Joeynodd menegaskan setiap wanita akan diberi perhatian sewajarnya kerana mereka merupakan tulang belakang keluarga dan komuniti di Moyog, justeru perlu didukung melalui program peningkatan kemahiran serta sokongan sosial.
Sebagai jurutera, beliau turut memberi fokus kepada isu paling kritikal di Moyog, iaitu banjir, dengan menggariskan perancangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan pengurusan tebatan banjir menjadi lebih sistematik dan berkala.
Menurutnya, rancangan jangka panjang tebatan banjir telah pun dilaksanakan Kerajaan, manakala inisiatif jangka pendek akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan parit, saliran dan kawasan hotspot banjir untuk mengurangkan risiko kejadian berulang.
Joeynodd turut menekankan gagasan membawa teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau ke Moyog, termasuk memperluas penggunaan tenaga solar bagi menerangi kawasan kampung yang masih gelap akibat ketiadaan lampu jalan.
Dalam sektor pertanian, beliau menyatakan komitmen membantu para petani di kawasan berbukit Moyog, terutama yang mengusahakan tanaman nenas, serai dan lengkuas, melalui pengenalan teknologi moden untuk meningkatkan hasil dan produktiviti.
Manifestonya turut merangkumi kesejahteraan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, warga emas dan OKU, yang disifatkannya tidak boleh ditinggalkan dalam arus pembangunan negeri.
Beliau juga bertekad memperkukuh budaya dan adat masyarakat Kadazan di Moyog, dengan menegaskan pentingnya generasi muda mengenali asal-usul serta menghargai warisan komuniti agar tidak ditelan zaman.
Menyentuh isu yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang minggu pertama kempen, Joeynodd berkata, masalah jalan kampung yang rosak, ketiadaan atau kerosakan lampu jalan serta balai raya yang tidak diselenggara merupakan aduan paling kerap diterima.
Katanya, beliau telah memberi jaminan kepada penduduk bahawa segala keperluan tersebut akan menjadi fokus utama sekiranya diberi mandat oleh rakyat Moyog untuk mewakili mereka di DUN Sabah.
Mengulas dakwaan di media sosial kononnya GRS mempunyai hubungan dengan parti nasional sehingga menjejaskan sokongan, Joeynodd menegaskan bahawa GRS ialah gabungan parti tempatan sepenuhnya yang dibina untuk memperjuangkan kepentingan Sabah.
Beliau berkata, enam komponen GRS – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), United Sabah National Organisation (USNO), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) – jelas membuktikan platform itu adalah entiti lokal yang lebih stabil serta konsisten dalam menyampaikan bantuan dan dasar pro-rakyat.
Joeynodd menyeru seluruh pengundi Moyog, khususnya golongan belia, untuk memberikan peluang kepadanya membuktikan kemampuan anak muda membawa perubahan, dengan sokongan barisan jurutera dan usahawan yang sedia membantu merealisasikan pembangunan Moyog.
































