Hajiji (depan, tengah) mengetuai jentera GRS Sulaman melaungkan slogan perang “Kita Jaga Rumah Kita”.
TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah meletakkan asas kukuh melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 untuk memacu Sabah menjadi sebuah negeri unggul dan disegani di negara ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat supaya dapat meneruskan perancangan menjadikan Sabah setanding dengan negeri-negeri lain, malah jika boleh, yang terbaik di negara ini,” katanya pada perjumpaan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS serta calon bagi DUN Sulaman berkata, sepanjang lima tahun lalu, Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Dalam pilihan raya ini, rakyat perlu mengundi dengan bijak. Kita tidak boleh silap memilih kerajaan negeri yang akan datang. GRS mempunyai agenda yang jelas dan perjuangan kita juga jelas. Kita telah membuktikan kemampuan kita.
“Kita mengutamakan pembangunan rakyat, berusaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin serta memperkasa pendidikan anak-anak Sabah. Bermula tahun ini, kita telah memberikan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah miskin tegar dalam senarai e-Kasih, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Kita juga menyediakan rumah percuma kepada golongan memerlukan melalui program Rumah Mesra SMJ. Dahulu, Sabah hanya menerima sekitar empat unit rumah PPRT bagi setiap DUN, namun melalui program ini, kita telah memberikan 40 rumah bagi setiap DUN,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah menyelesaikan masalah legasi seperti bekalan air dan elektrik, termasuk melalui pembangunan 18 loji rawatan air baharu di seluruh negeri serta pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, antara lain.
Dalam aspek pendidikan, beliau menegaskan Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.3 bilion bagi pembangunan modal insan, yang merupakan salah satu teras Hala Tuju SMJ.
“Kami bukan kerajaan yang hanya tahu bercakap, menipu dan menjanjikan bulan dan bintang. Mereka (pembangkang) pernah berada dalam kerajaan sebelum ini, termasuk di peringkat Persekutuan. Tetapi apa yang mereka lakukan sepanjang tempoh itu?
“Kini mereka mendakwa kita kerajaan gagal. Tetapi siapa sebenarnya yang gagal? Mereka. Mereka pernah menjadi menteri Persekutuan bertahun-tahun, namun gagal menyelesaikan masalah di Sabah.
“Kita mewarisi pelbagai isu legasi seperti air, elektrik dan infrastruktur, tetapi bezanya kita mencari penyelesaian dan melaksanakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 ini adalah unik kerana belum pernah berlaku jumlah calon seramai ini, dengan hampir 596 orang bertanding bagi 73 kerusi.
“Tidak mengapa, ini demokrasi. Tetapi saya yakin rakyat akan mengundi dengan bijak dan memilih parti yang mempunyai rekod pencapaian terbukti,” katanya.
Ketika ditemui kemudian, Hajiji berkata, jentera pilihan raya GRS Sulaman yang berjumlah 2,500 orang berada dalam keadaan baik dan bersedia menghadapi pilihan raya.
“Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu mereka turun padang untuk bertemu pengundi dan menerangkan sumbangan, pencapaian serta perancangan GRS kepada semua pengundi,” katanya, sambil menambah beliau yakin jentera pilihan raya ini akan menyumbang kepada kejayaan GRS di Sulaman.
Arahan yang sama turut diberikan kepada jentera parti di kawasan-kawasan lain, katanya.
































