Masiung (tiga dari kanan) bersama tujuh calon lain.
KINABATANGAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali lagi mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 2008.
Naib Presiden Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berdepan pertarungan lapan penjuru selepas tujuh lagi calon mengesahkan pencalonan di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini, pagi ini.
Antara pencabar Masiung ialah Norfaiza Chua (Warisan), Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu – UPKO), penyanyi dan pelakon veteran Sabah Abu Bakar Ellah (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – PKDM), Jecronnue Mandek (Parti Solidariti Tanah Air – STAR), John Sungkiang (Parti Perpaduan Rakyat Sabah – PPRS), Ted Calvin Sudin (Parti Impian Sabah – PIS) dan calon Bebas, Duin Bintarang.
Pemimpin berusia 53 tahun itu antara yang terawal mengemukakan pencalonan pada jam 9.13 pagi.
Tiba di pusat penamaan calon, Masiung disambut lebih 1,000 penyokong yang melaungkan slogan “Tatap Kalaga” sambil memakai baju dan logo GRS, sebelum berarak ke pusat penamaan calon.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), Masiung bertanding sebagai calon Bebas dan memenangi kerusi dengan majoriti 978 undi sebelum menyertai Gagasan Rakyat.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR), Mohd. Yuesri Yusof mengumumkan semua calon yang mengemukakan pencalonan layak bertanding.






























