Hajiji disambut oleh para penjawat awam semasa menghadiri Konvensyen Penjawat Awam Sabah yang julung kali diadakan di SICC, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat daripada RM77.80 bilion pada 2020 kepada RM84.30 bilion pada 2024, iaitu paras tertinggi sejak pasca COVID-19.
Beliau berkata, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan dasar fiskal Kerajaan Negeri, khususnya dalam pengurusan hasil yang berhemat dan sistem kutipan yang efisien.
“Ia mempamerkan daya tahan ekonomi negeri walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar akibat ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran komoditi dan kelembapan ekonomi antarabangsa.
“Bagi 2025 dan 2026, momentum pertumbuhan negeri dijangka terus mengukuh melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi, dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 hingga 2 peratus,” katanya pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di SICC di sini, hari ini.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri berjaya mengawal inflasi dengan teratur, di mana kadar inflasi Sabah pada 2024 adalah 1.2 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu 1.8 peratus.
Pencapaian ini juga didorong oleh inisiatif rangsangan kerajaan, termasuk Skim Pinjaman Kredit Mikro, yang telah memperkasa usahawan kecil dan sederhana dengan jumlah pinjaman bernilai RM2.37 juta daripada 1,210 permohonan setakat ini.
Melangkah ke Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030) Hajiji berkata, Sabah kekal antara negeri penerima peruntukan pembangunan tertinggi, sebanyak RM6.9 bilion pada 2026, dijangka mempercepat pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Kabinet Negeri pada 4 Jun 2025 turut meluluskan siling perbelanjaan pembangunan RM12.02 bilion di bawah RMK13, merangkumi 1,173 program dan projek — peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Polisi Amalan Baik Peraturan, yang bertujuan meningkatkan kualiti peraturan dan menghapuskan peraturan tidak efektif terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang lima tahun, sebanyak 48 Rang Undang-Undang (RUU) baharu dan pindaan telah diperkenal untuk memastikan objektif ini tercapai,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan integriti, dengan penubuhan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) pada 26 Julai 2022 bagi memantau pematuhan standard integriti.
Selain itu, pendigitalan perkhidmatan menjadi teras penyampaian yang lebih efektif, melalui Sabah Data Integration and Interchange Platform (Sabah DIIP) di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri.
“Kerajaan turut menyediakan lebih 10,000 akaun aktif Google Workspace untuk kakitangan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan produktiviti penjawat awam. Sejumlah 290 projek sistem aplikasi telah dilaksanakan, manakala 53 lagi Projek Pendigitalan Perkhidmatan Awam sedang giat dijalankan,” katanya.
Pelaksanaan Hala Tuju SMJ 1.0 dalam tempoh lima tahun merangkumi pelbagai sektor ekonomi, mencatat kemajuan dan kejayaan melebihi jangkaan.
Dalam sektor pertanian, contoh utama adalah pelaburan RM620 juta dalam penanaman kelapa dan industri hiliran oleh Linaco Resources Sdn. Bhd.
“Prestasi pelaburan negeri Sabah mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Kerajaan dengan kapasiti perkhidmatan awam sebagai pemboleh daya. Sejak 2021 hingga suku kedua 2025, sektor pembuatan mencatat pelaburan RM24.9 bilion daripada 87 pelabur domestik dan antarabangsa,” katanya.
Pelaburan bernilai tinggi lain termasuk RM4.29 bilion daripada SK Nexilis, RM3.43 bilion daripada SBH Kibing Solar dan tiga fasa pelaburan RM6.59 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd.
PETRONAS juga telah memulakan operasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), menunjukkan pelaburan datang daripada pelabur domestik dan antarabangsa.
“Pelaburan ini memberi manfaat kepada rakyat dengan mewujudkan lebih 38,000 peluang pekerjaan,” tambahnya.
Dalam sektor minyak dan gas, penandatanganan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 menandakan era baharu penglibatan Sabah.
Sabah Energy Corporation (SEC) kini dilantik sebagai pembekal dan pengangkut gas utama dengan kapasiti melebihi 250 juta kaki padu sehari, menjana hasil tahunan dijangka melebihi RM2.5 bilion.
SMJ Energy Sdn. Bhd., syarikat milik penuh kerajaan Sabah, melonjak nilai kepada RM5 bilion dalam tiga tahun, dengan aset RM4.9 bilion dan keuntungan RM307 juta.
Dalam sektor pelancongan, Sabah mencatat 10.67 juta ketibaan pelancong dengan perbelanjaan RM23.42 bilion antara 2021-2025. Projek pelancongan utama termasuk Sheraton Kota Kinabalu, Club Med Borneo Kuala Penyu, Inter-Continental Hotel Papar, Hilton Garden Inn Tuaran, Hyatt Centric Kota Kinabalu dan Citadines Waterfront Kota Kinabalu.
“Dengan 207 penerbangan domestik dan 126 antarabangsa seminggu di KKIA, Sabah terus menjadi destinasi utama pelancong dari Brunei, China, Indonesia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam. Pertumbuhan sektor pelancongan juga membuka lebih 360,000 peluang pekerjaan sejak 2023 melalui pemuliharaan tapak bersejarah, fasiliti rekreasi, dan pengindahan bandar,” katanya.
Kerajaan juga konsisten dalam menyediakan peluang pendidikan, dengan peruntukan biasiswa meningkat kepada RM1.02 bilion dalam tempoh lima tahun, termasuk RM145 juta untuk 12,763 pelajar melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Tambahan 37 pelajar UEC turut menerima biasiswa.
Untuk infrastruktur, Kerajaan memperuntukkan RM4.89 bilion bagi pengurusan jalan raya, yang kini meliputi 22,858 km berbanding 21,876 km pada 2021.
Bagi bekalan air, jumlah Loji Rawatan Air meningkat daripada 85 pada 2021 kepada 90 pada 2024, meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 1,505 juta liter sehari kepada 1,630 juta liter sehari. Projek seperti Telibong II, Beluran, Kanibongan dan Kasigui UWSS dijangka siap tahun ini, manakala 18 projek lagi disiapkan tahun hadapan dengan pinjaman bebas faedah RM320.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Dalam bekalan elektrik, Majlis Tenaga Negeri Sabah meluluskan 11 projek dengan kapasiti 1,219 MW dijangka siap menjelang 2031.
































