Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Keindahan flora dan fauna serta kepelbagaian etnik dan budaya di Sabah perlu diterokai sepenuhnya oleh para penulis dan penggiat sastera bagi melahirkan karya yang bermutu tinggi dan berimpak besar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha tersebut selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta para penulis untuk memperluas kegiatan sastera dan budaya membaca di negeri ini.
“Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan faunanya, tetapi juga dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Kepelbagaian ini memberi keunikan dan keunggulan tersendiri kepada citra negeri Sabah, yang wajar dilestarikan sama ada melalui penerbitan buku, majlis ilmu, bicara karya atau seminar sastera.
“Khazanah yang unik dan istimewa ini mencerminkan kebijaksanaan masyarakat kita dan wajar ditulis serta disebarkan. Sebagai pemilik khazanah tersebut, kita bertanggungjawab merakamnya dalam pelbagai bentuk penyebaran ilmu untuk tatapan dan pengetahuan masyarakat.
“Sejarah Sabah juga kaya dengan naratif yang belum diterokai sepenuhnya — termasuk aspek budaya, sosial dan ekonomi. Semua ini perlu didokumentasikan sebelum ia hanya tinggal sejarah,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024/2025 serta Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Cerita Kanak-kanak Bergambar di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Hajiji turut berharap DBP Sabah akan terus komited memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan melalui penerbitan karya berkualiti tinggi merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti bahasa, sastera, sains, kearifan tempatan dan agama.
“Justeru, saya berharap buku-buku yang dilancarkan hari ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar, penyelidik, guru, pensyarah, penulis serta masyarakat umum sebagai bahan rujukan dan sumber ilmu.
“Penerbitan buku-buku ini membuktikan kesungguhan para penulis dan editor dalam usaha memartabatkan masyarakat MADANI melalui pembangunan serta pengukuhan tradisi budaya ilmu. Usaha ini juga mencerminkan peranan DBP sebagai institusi yang kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani era globalisasi,” katanya.
Ketua Menteri turut mencadangkan agar perpustakaan di seluruh negeri, jabatan kerajaan serta sektor swasta turut memperoleh buku-buku yang dilancarkan itu sebagai bahan koleksi dan rujukan awam di sudut bacaan dan perpustakaan masing-masing.
“Kaedah ini juga dapat menjadi satu bentuk pengiktirafan kepada penulis yang diraikan hari ini, di samping membantu memperluaskan capaian karya mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila beberapa karya penulis Sabah berjaya mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan, malah hingga ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, sebanyak 24 buah buku penulis Sabah diterbitkan dan dilancarkan sempena majlis berkenaan.































