KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menegaskan bahawa dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan Tabung Zakat yang kembali tular di media sosial baru-baru ini merupakan tuduhan lama yang tidak berasas sama sekali.
MUIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan isu tersebut pernah mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah bersama Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama, yang kemudian mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
“MUIS juga telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tersebut. Prosiding mahkamah masih berjalan dan wajar dihormati oleh semua pihak,” jelas kenyataan itu.
Sebagai bukti ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana zakat, MUIS menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan terhadap keseluruhan akaun kewangannya, termasuk Tabung Zakat.
“Hasil siasatan tersebut tidak menemukan sebarang unsur salah laku atau jenayah terhadap mana-mana pegawai atau pihak dalaman MUIS,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, Jabatan Audit Negara turut menjalankan audit menyeluruh setiap tahun terhadap akaun kewangan MUIS, dan hasilnya MUIS telah dianugerahkan Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan kewangan MUIS adalah telus, berhemah dan mematuhi semua peraturan serta piawaian perakaunan dan enakmen berkaitan,” tambah kenyataan itu.
Dari aspek pengurusan kualiti, MUIS juga berjaya memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021, hasil audit pematuhan tahunan oleh badan pensijilan bertauliah.
“Ini menunjukkan setiap proses kerja MUIS dilaksanakan secara sistematik, profesional dan mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, MUIS kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (Anti-Bribery Management System – ABMS) MS ISO 37001:2016.
“Langkah ini adalah manifestasi jelas kesungguhan MUIS memastikan tadbir urusnya kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa,” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan berunsur jahat yang disebarkan untuk menjejaskan imej MUIS sebagai institusi Islam yang berperanan penting dalam memperkasa umat Islam serta menjaga kebajikan asnaf di Sabah.
“MUIS akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” tegas kenyataan tersebut.
MUIS turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menjejaskan nama baik dan maruah institusi itu.


































