KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam kes tuntutan hak 40% hasil bersih persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini mengesahkan tanggungjawab perlembagaan dan moral Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan apa yang telah dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta asas penubuhan Persekutuan Malaysia.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Sabah Law Society (SLS) atas ketegasan serta keberanian mereka membawa isu ini ke mahkamah.
“PBS mengucapkan syabas kepada SLS kerana mempertahankan hak rakyat Sabah dengan penuh dedikasi. Keputusan ini bukan sahaja kemenangan dari segi undang-undang, tetapi juga kemenangan untuk semangat keadilan, kesaksamaan, dan rakan kongsi sejati seperti yang dijanjikan dalam MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Joachim Gunsalam
Dr. Joachim menegaskan bahawa keputusan ini membuktikan apa yang telah lama diperjuangkan oleh rakyat Sabah – bahawa hak 40% bukanlah keistimewaan, tetapi hak perlembagaan yang dijamin kepada Sabah.
“Selama hampir lima dekad, hak ini telah diabaikan dan ditangguhkan. Kini tiba masanya untuk memperbetulkan kealpaan sejarah ini dan melaksanakan janji perlembagaan yang telah termaktub,” ujarnya.
PBS turut menyeru Kerajaan Persekutuan agar mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah untuk memulakan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 180 hari berhubung jumlah hasil bagi tahun 1974 hingga 2021.
“Perintah mahkamah ini mesti dihormati tanpa sebarang alasan atau penangguhan. Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan,” tegas beliau.
Beliau turut menambah bahawa isu ini melangkaui sempadan politik dan seharusnya menyatukan semua pemimpin Sabah dalam mempertahankan hak negeri dari segi perlembagaan dan kewangan.
“PBS sejak dahulu lagi konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah di bawah MA63. Keputusan ini adalah langkah penting ke arah mengembalikan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya lagi.
PBS menegaskan sokongan penuhnya terhadap Sabah Law Society dan badan kehakiman yang telah menegakkan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
“Biarlah keputusan ini menjadi titik permulaan kepada era baru yang berasaskan keikhlasan dan keadilan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Selepas 48 tahun, sudah tiba masanya kita menghormati perjanjian dan menjunjung Perlembagaan,” kata Dr. Joachim.































