Hajiji bersama ahli Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC) di kediaman rasminya, Seri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini. Mereka adalah Datuk Roger Chin Ken Fong, Dr David Fung Yin Kee, Janice Junie Lim dan peguam kanan Jeyan Marimuthu. Turut hadir, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D.
“Kami lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang tertunggak dalam tempoh 90 hari. Keputusan ini mengesahkan hak Sabah sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.
Hajiji berkata, kemenangan itu turut mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri yang terus mempertahankan dan menegaskan hak perlembagaan Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperjelas rekod sejarah, termasuk Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah bagi tempoh 1964 hingga 1968, telah memainkan peranan penting dalam menegaskan bahawa niat dan maksud Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah.
“Penerimaan bayaran interim dibuat tanpa menjejaskan hak perlembagaan negeri,” tegasnya.
Hajiji berkata, sejak awal lagi, dalam setiap mesyuarat Malaysia Agreement 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Kerajaan Sabah secara konsisten dan tegas mengemukakan tuntutan berkaitan hak Sabah.
“Kami memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, setiap mesyuarat MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta melalui pelbagai surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya. Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti.
“Dengan keputusan ini, kami berharap Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah Mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, bagi memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Beliau turut memuji tindakan SLS membawa isu ini ke mahkamah sebagai satu perkara berkepentingan awam.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya hari ini turut mengarahkan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah tersebut, seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
































