Joniston beramah mesra bersama penduduk Kampung Lokub.
KIULU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai menepis spekulasi bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menyifatkannya sebagai cubaan pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan dan menggugat perpaduan gabungan itu menjelang pilihan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata, khabar angin yang sering timbul itu tidak membawa sebarang manfaat selain menggusarkan penyokong dan mengganggu kestabilan politik yang berjaya dikekalkan GRS melalui kerjasama antara parti komponennya.
“Isu PBS keluar GRS tidak pernah dibangkitkan pun dalam mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini,” katanya pada sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Lokub di sini, hari ini.
“Malah, Pemangku Presiden kita, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam sekali lagi menegaskan komitmen PBS untuk terus memperkukuh GRS sebagai gabungan tempatan yang kukuh dan terus mengekalkan hubungan kerja yang baik serta saling menghormati dengan Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.
Joniston berkata, pendirian PBS sentiasa berasaskan keyakinan bahawa perpaduan dalam kalangan parti-parti tempatan amat penting bagi memastikan kestabilan politik jangka panjang dan melindungi kepentingan Sabah.
Beliau turut mengakui PBS sentiasa peka terhadap sentimen rakyat di peringkat akar umbi, namun menegaskan bahawa apa yang popular tidak semestinya betul.
Beliau juga memberi peringatan bahawa perubahan arah politik yang kerap tidak sihat kerana boleh membawa kepada ketidakstabilan yang menjejaskan kesinambungan dan kemajuan.
“Kita tidak boleh berpecah-belah kerana pihak lain hanya akan mengambil kesempatan daripada perpecahan kita,” katanya sambil menekankan keperluan PBS dan GRS kekal fokus serta bersatu padu menjelang pilihan raya.
“Kita sedar akan dinamika landskap politik Sabah, dan keputusan kita mesti berlandaskan realiti.
“PBS komited memastikan GRS berkembang menjadi kuasa politik dominan di Sabah, seperti mana GPS di Sarawak,” tambah Joniston.
































