Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berharap rakyat Sabah, termasuk masyarakat Cina, akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri sedia ada dalam usaha memajukan negeri ini.
“Kerajaan Negeri kini akan terus memacu pembangunan kerana adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya pada Majlis Pesta Tanglung 2025 di Putra Ballroom, Bukit Padang, di sini malam ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan serta dedikasi masyarakat Cina dalam membantu pembangunan negeri.
“Oleh itu, marilah kita terus memelihara dan memperkukuh perpaduan ini serta menjadikan Sabah contoh bagaimana kepelbagaian mampu menjadi kekuatan yang menyatukan kita semua.
“Dalam semangat perayaan ini, marilah kita perbaharui komitmen untuk bekerjasama demi kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, Sabah merupakan contoh cemerlang bagi Malaysia dalam mengekalkan keharmonian berbilang kaum.
“Dengan lebih 30 kumpulan etnik, kita hidup dalam suasana saling menghormati. Kepelbagaian ini adalah satu nikmat yang menjadikan Sabah benar-benar istimewa. Keharmonian yang kita kecapi bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada semangat kebersamaan, toleransi dan hormat-menghormati yang diamalkan oleh setiap rakyat Sabah.
“Semangat ini jelas kelihatan apabila kita menyambut pelbagai perayaan bersama seperti Tahun Baharu Cina, Pesta Tanglung, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Krismas.
“Oleh itu, kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah mesti terus diraikan oleh semua, tanpa mengira kaum atau agama. Kepelbagaian ini, termasuk perayaan seperti Pesta Tanglung, telah menyatukan rakyat negeri ini untuk hidup aman dan harmoni. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk perpaduan melalui pelbagai program dan inisiatif, namun usaha ini memerlukan sokongan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat.
“Oleh itu, saya berharap rakyat negeri ini akan kekal bersatu padu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif tidak berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ketua Menteri itu turut berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.
“Selain itu, bidang lain seperti pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat juga merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri.
“Kita sedar masih ada cabaran yang perlu ditangani, termasuk isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, seperti bekalan air dan elektrik.
“Namun, kerajaan kini akan terus berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu-isu ini melalui pelan jangka panjang dan jangka pendek. Paling penting adalah sokongan rakyat agar Sabah terus makmur dalam Malaysia,” katanya.
































