TAWAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited memperkasa pembangunan luar bandar di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) agar tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, usaha itu dizahirkan menerusi projek seperti pembinaan Dewan Anak Merotai yang dijangka menjadi pusat aktiviti sosial, ekonomi dan kebudayaan masyarakat setempat.
“Harapan saya agar dewan ini menjadi pusat pertemuan masyarakat — tempat berlangsungnya program keagamaan, latihan belia, bengkel kemahiran, serta pelbagai lagi aktiviti yang dapat menyemai semangat perpaduan serta kekitaan dalam kalangan penduduk,” katanya pada majlis pecah tanah tapak dewan baharu di Kampung Merotai Besar, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib,
Hajiji berkata, selain berfungsi sebagai pusat kegiatan komuniti, dewan itu juga berpotensi menggalakkan aktiviti keusahawanan seperti ekspo jualan, pasar komuniti dan seminar keusahawanan yang mampu membantu meningkatkan pendapatan penduduk.
Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengumumkan peruntukan hampir RM4 juta bagi pembangunan infrastruktur di Merotai, termasuk RM2 juta untuk pembinaan dewan tertutup dan RM1.9 juta lagi untuk pemasangan lampu solar di sepanjang jalan utama.
“Alhamdulillah, hampir 70 peratus lampu solar LED sudah dipasang dan berfungsi. Ini bermakna lebih separuh jalan utama Merotai telah terang pada waktu malam, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” jelasnya.
Hajiji turut berharap kerja-kerja pembinaan dewan itu berjalan lancar dan siap mengikut jadual, sambil menggesa rakyat terus bersatu padu bagi memastikan pembangunan yang dibawa kerajaan memberi manfaat menyeluruh kepada kawasan berkenaan.
































