Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Semua laporan dibawa kepada Tribunal Antibuli yang dibuat secara dalam talian akan dikekalkan sebagai sulit, manakala pihak tribunal akan memastikan identiti pengadu dilindungi apabila kes dibawa ke peringkat pendengaran.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hal ini kerana masih terdapat kebimbangan dalam kalangan pelajar merasakan aduan mereka tidak dipercayai oleh pihak berkuasa.
“Situasi itu turut berlaku di negara lain sehingga mendorong penubuhan jawatan pesuruhjaya keselamatan yang turun padang memberi penerangan di sekolah mengenai isu buli.
“Tribunal ini akan menjadi platform bebas kepada pelajar atau ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah termasuk sekolah swasta yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan atau institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Kita tidak boleh benarkan sekolah swasta lepas tangan dengan meminta ibu bapa menandatangani surat pelepasan tanggungjawab jika berlaku kes buli. Dari segi undang-undang tort (undang-undang sivil berkaitan perbuatan salah dilakukan satu pihak yang menyebabkan kerugian atau kecederaan kepada pihak lain), sekolah tetap bertanggungjawab kerana mereka menguruskan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Sesi Town Hall Tribunal Antibuli #GenerasiTanpaBuli Peringkat Mara di sini hari ini.
Menurutnya, tribunal juga akan menerima aduan kes buli yang berlaku di luar kawasan sekolah kerana masalah itu tidak terbatas di dalam premis pendidikan semata-mata.
“Fasa pertama tumpuan kita adalah kepada pelajar bawah 18 tahun berdasarkan nasihat Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada fasa kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata, pihaknya akan mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 200 murid sekolah rendah dan menengah pada 6 Oktober ini bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung usaha kerajaan menubuhkan Tribunal Antibuli.
Beliau berkata, sesi itu penting kerana kanak-kanak merupakan pihak yang berdepan secara langsung dengan situasi buli.
Katanya, ia dapat memberi gambaran jelas mengenai tahap kesedaran terhadap masalah itu serta strategi pencegahan awal.
“Pandangan anak-anak ini amat berbeza, mereka sendiri mengakui bahawa buli adalah satu masalah yang perlu ditangani segera.
“Malah, mereka bijak bercakap mengenai kesedaran dan strategi pencegahan. Ini memberi harapan bahawa generasi muda juga mahu sistem yang melindungi mereka,” katanya.
































