Anwar Ibrahim semasa jelajah Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi malam tadi di Sandakan, Sabah. – Facebook Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, ia susulan perbincangan mengenai perkara itu semasa mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, kedua-dua negeri berkenaan memohon pertimbangan supaya bilangan kerusi Parlimen ditambah.
“Buat kali pertama sejak 1963, Anwar yang sekarang jadi Perdana Menteri mengumumkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 tahun Reformasi, di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, semalam.
Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, manakala Sabah memiliki 25 kerusi. Kedua-dua negeri Borneo itu mewakili 25 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.
Sebelum ini, wujud cadangan meminda jumlah kerusi Parlimen untuk memenuhi kuota satu pertiga atau 35 peratus mewakili Sabah dan Sarawak.


































