Keadaan jari Hadaway yang membengkak kerana cincin tunangnya tersekat.
CHESHIRE: Kegembiraan seorang wanita bertukar cemas apabila dia hampir kehilangan jarinya beberapa jam selepas bertunang, gara-gara cincin pertunangan yang terlalu kecil.
Menurut Utusan Malaysia, Iona Hadaway, 23, dari Crewe, Cheshire, pada mulanya gembira apabila teman lelakinya, Jacob Bugliarello, 20, melamarnya di sebuah restoran Itali.
Namun, tidak lama selepas itu, dia dikejarkan ke hospital apabila cincin tersebut tersekat dan menghentikan peredaran darah pada jarinya.
“Ia memang agak ketat, tapi saya paksa juga pakai sebab gembira nak sarungkan cincin tu,” katanya.
Selepas pasangan itu mengunjungi ibu bapa masing-masing untuk berkongsi berita gembira, Hadaway mula menyedari jarinya membengkak.
Ketika cuba menanggalkan cincin itu, dia mendapati ia langsung tidak boleh dikeluarkan sebelum bergegas ke Jabatan Kecemasan di Hospital Crewe Leighton.
Doktor mencuba pelbagai cara termasuk melumurkan sabun dan menggunakan tali untuk menarik cincin keluar, namun usaha itu gagal.
Akhirnya, pakar perubatan tiada pilihan selain memotong cincin tersebut.
Walaupun keputusan itu menyedihkan, tindakan pantas doktor menyelamatkan jarinya.
Mereka memberitahu, sekiranya dia menunggu hingga keesokan hari, jari tersebut mungkin terpaksa dipotong kerana aliran darah sudah terhenti sepenuhnya.
Bugliarello yang hanya lapan bulan menjalinkan hubungan dengan Hadaway turut berada di sisi sepanjang detik mencemaskan itu seolah-olah menguji ikrar ‘susah dan senang bersama’ lebih awal daripada yang dijangka.