HONG KONG: Hong Kong menutup sekolah dan membatalkan penerbangan apabila Taufan Super Ragasa semakin menghampiri pusat kewangan itu.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa menyifatkan kekuatan taufan itu sebagai antara yang paling dahsyat dalam sejarah bandar berkenaan.
Ribut tersebut turut memaksa pihak berkuasa di selatan China menutup sekolah dan perniagaan di sekurang-kurangnya 10 bandar, menjejaskan puluhan juta penduduk.
Di Filipina, Ragasa menumbangkan pokok, merosakkan bumbung bangunan dan mencetuskan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, sementara ribuan penduduk mencari perlindungan di pusat pemindahan.
Perkhidmatan cuaca Hong Kong melaporkan taufan itu membawa angin kencang berkelajuan sehingga 220 kilometer sejam ketika bergerak merentasi Laut China Selatan.
Balai Cerap Hong Kong menaikkan amaran taufan ke tahap tertinggi pada petang Selasa, memberi amaran keadaan cuaca akan merosot dan ombak besar boleh meningkatkan paras laut sehingga empat meter menjelang pagi Rabu.
Puluhan pekerja membina penghadang dan laluan pejalan kaki bertingkat, manakala beberapa pemilik perniagaan memindahkan barangan mereka keluar dari kawasan terjejas.
Pegawai Hong Kong, Eric Chan sebelum ini berkata, Ragasa bakal membawa ancaman serius seperti taufan super pada 2017 dan 2018, yang menyebabkan kerugian ratusan juta dolar akibat kerosakan harta benda.
Saintis pula memberi amaran ribut semakin kuat seiring pemanasan global yang didorong oleh perubahan iklim akibat aktiviti manusia.
Ragasa, dinamakan sempena perkataan Filipina yang bermaksud gerakan pantas, dijangka melanda kawasan pantai tengah dan barat Guangdong dalam tempoh 24 jam, menurut biro pengurusan kecemasan wilayah hari ini.
Shenzhen sebelum ini mengarahkan pemindahan 400,000 orang.