Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor terus membuktikan komitmen untuk menyelesaikan isu legasi tenaga negeri dengan tindakan jelas, bukan sekadar retorik politik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan yang dibuat oleh Datuk Suhaimi Nasir bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani isu tenaga adalah tidak berasas dan hanya menggambarkan budaya politik lama yang pandai menjerit tanpa menawarkan penyelesaian.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Kerajaan Sabah telah mengambil langkah serius dan menyeluruh untuk menyelesaikan masalah tenaga yang diwarisi sejak sekian lama. Ini bukan janji kosong, tetapi tindakan nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dengan sokongan Kerajaan Negeri sedang mengemukakan cadangan pelaksanaan projek Southern Link, iaitu talian penghantaran sepanjang 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau yang akan melengkapkan grid tenaga Sabah.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap cadangan itu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan agar dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Pantai Timur Sabah.
“Projek ini amat penting kerana ia akan memastikan Pantai Timur tidak lagi hanya bergantung pada talian Kolopis–Segaliud,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut merangka pengambilalihan Sabah Electricity supaya kawalan tenaga dapat ditentukan sendiri oleh rakyat Sabah.
Langkah ini, kata beliau, disokong dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Penjanaan fast track, penyewaan loji sementara, pembinaan loji solar berskala besar serta pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) 100MW yang dipercepatkan jadual siapnya.
Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang merangkumi 16 strategi utama bagi menjamin bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan.
Tambahnya, penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pula memberi kuasa kawal selia secara terus kepada negeri terhadap tenaga elektrik dan gas.
“Inilah perbezaan antara GRS dengan pembangkang. Kita bekerja, mereka bercakap. Projek sudah berjalan, pelan telah dirangka, pelaksanaan sedang dipercepatkan,” tegasnya.
Menurut Nizam, rakyat tidak mahukan retorik politik yang dimainkan pembangkang tetapi menginginkan hasil yang nyata.
“Rakyat tidak lapar dengan kenyataan politik Suhaimi, mereka mahu lampu di rumah menyala dan kilang terus beroperasi.
“Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Hajiji sudah membuktikan keupayaan mentadbir dengan tindakan jelas, bukan janji kosong,” katanya.
































