Mohd. Nizam Jaffar (empat dari kanan) menyampaikan Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif selepas perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke 92 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan hampir 600 anggotanya untuk menghadapi bencana termasuk kejadian tanah runtuh di Sabah,
Menurut Utusan Malaysia, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, anggotanya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana banjir di seluruh negara.
Beliau berkata, kesiapsiagaan itu melibatkan penempatan awal anggota dan aset di kawasan berisiko selain latihan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami sudah ada pre-positioning, pasukan yang dikenal pasti mengadakan raptai bersama pemimpin setempat. Tugas utama ATM adalah membantu rakyat dan pihak berkuasa awam ketika krisis banjir. Insya-Allah, kami sentiasa bersedia,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ATM Ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Sambutan HUT ATM Ke-92 kali ini diserikan dengan perbarisan tempur statik melibatkan 43 pegawai dan 648 anggota lain-lain pangkat.
Bertemakan “Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa”, acara turut menampilkan lima pasukan termasuk pasukan khas gabungan ATM iaitu 10 Briged PARA, Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).
Kemuncak sambutan adalah demonstrasi dinamik ‘Operasi Benteng Kedaulatan’ yang menggabungkan kekuatan aset Tentera Darat, Laut dan Udara.

































