KENINGAU: Seorang lelaki dipercayai pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-Apin, di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam sebelum mengerahkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 10.24 malam, dilaporkan terdapat tiga mangsa lelaki, dipercayai anggota Sabah Electricity. Dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi berusia lingkungan 30-an masih belum ditemui.
“Mangsa terakhir yang hilang itu dilihat memakai vest Sabah Electricity ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di persisiran sungai berdekatan lokasi kejadian dengan bantuan agensi lain.
Komander Operasi, PBK I Norhasrita Abdul Manan, mengetuai misi pencarian tersebut, manakala Ketua Balai BBP Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, turut berada di lokasi untuk menyelaras operasi.
Sehingga tengah malam, usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan pencarian tertumpu di kawasan hilir sungai yang dipercayai dilalui arus deras.
































