Hajiji menenangkan Benney yang kehilangan isteri serta dua anaknya dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Papar.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, hari ini melawat beberapa kawasan yang teruk terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Beaufort, Bongawan, Papar, Kinarut, Penampang dan sekitar sini.
Hajiji terlebih dahulu melawat Dewan Raya Tandugal Kampung Mook di Kinarut, tempat beliau bertemu dengan Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isterinya, Emily Johnny, 38, dan anak lelaki mereka, Xarell Myre Aristhotle, 11, apabila rumah mereka dihempap runtuhan tanah susulan hujan lebat pada 15 September lalu.
Beliau menyampaikan sumbangan termasuk bantuan kepada Aristhotle dan adik-beradiknya bagi membaiki rumah mereka sebelum meninjau lokasi tragedi.

Hajiji menyampaikan ucapan takziah kepada Aristhotle yang kehilangan isteri dan anaknya dalam kejadian tanah runtuh pada 15 September di Kampung Mook, Kinarut.
Selepas itu, Ketua Menteri meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Marahang, Papar, untuk bertemu dengan Benney Binjamis @ Emis yang kehilangan isterinya, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anak mereka, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, apabila rumah mereka di Kampung Marahang Tuntul dihempap tanah runtuh pada pagi 15 September.
Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada Benney dan keluarganya.
Kemudian, Hajiji ke Pusat Penempatan Kekal (PPK) Salagon di Beaufort bagi menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir yang melibatkan 83 keluarga, selain 56 keluarga lagi di Dewan Masyarakat Bongawan.

Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan (BWI) kepada salah seorang mangsa banjir di PPK Salagon, Beaufort.
Pada sebelah petang, Ketua Menteri meninjau kawasan perumahan Country Heights dan Institut Perguruan Gaya yang turut terjejas akibat tanah runtuh.


































