Duduk depan dari kanan: Terrance, Masly, Mansur, Fairuz, Adanan dan Mohd. Asneh bersama pegawai, pengurus, jurulatih serta atlet pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah di Wisma MUIS, kelmarin.
KOTA KINABALU: Seramai 188 atlet dan pegawai akan membawa cabaran negeri Sabah ke dua temasya sukan di Kuching, Sarawak bermula minggu depan.
Dua temasya tersebut ialah Sukan Borneo 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 28 September, diikuti Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025 pada 2 hingga 6 Oktober.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, daripada jumlah itu, seramai 116 atlet dan pegawai akan bersaing dalam Sukan Borneo manakala baki 72 lagi akan beraksi di SOPMA.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua Kontinjen, Datuk Mansur Haji Asun di Wisma MUIS, kelmarin.
“Di Sukan Borneo, Sabah akan bertanding dalam enam acara iaitu renang, olahraga, boling padang, memanah, badminton dan sukan tradisi tarik tali.
“Bagi SOPMA pula, atlet Sabah akan menyertai lima acara iaitu badminton, orientering, futsal, olahraga dan tenpin boling,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri, Datuk Fairuz Renddan.
Ellron turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang terpilih mewakili Sabah dalam kedua-dua temasya tersebut.
“Untuk makluman, Sukan Borneo dihidupkan semula selepas kali terakhir dianjurkan pada 2013 di Labuan. Tahun ini, ia disertai enam kontinjen iaitu Brunei Darussalam, Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Sabah, Labuan dan Sarawak sebagai tuan rumah.
“Bagi SOPMA pula, Sabah merupakan juara bertahan selepas meraih 17 pingat emas, 15 perak dan tujuh gangsa pada edisi 2023 di Kuala Lumpur,” jelasnya.
Menurut beliau, atlet Sabah kini lebih bersedia untuk mengulangi kecemerlangan di kedua-dua temasya berkenaan.
“Saya yakin atlet yang berada di hadapan saya hari ini mampu menunjukkan semangat juang yang tinggi serta disiplin terbaik. Bertandinglah dengan sepenuh tenaga dan jangan sesekali mengaibkan nama Sabah. Sabah Pasti Boleh!” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pegawai pengiring supaya memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, kebajikan serta semangat setiakawan sepanjang kejohanan.
“Pastikan setiap atlet berada dalam keadaan selesa dan selamat. Amalkan sikap terbuka, bantu-membantu serta saling memberi tunjuk ajar agar cabaran dapat ditangani secara bersama,” tegasnya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), Masly Ansilau; Timbalan Setiausaha Tetap, Adanan Atin; Pengurus Besar LSNS, Terrance Edward Pudin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd. Asneh Mohd. Noor; dan Presiden Persatuan Orang Pekak Sabah, Spencer Soo.