Dr. Kasim Haji Mansor
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil menjelaskan isu tuntutan sekumpulan pelajar yang menamakan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa (SM) berhubung permintaan pengurangan yuran susulan masalah bekalan air yang berlaku di kampus sejak beberapa bulan lalu.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, pihak universiti telah meneliti surat permohonan kumpulan berkenaan dan membuat pertimbangan mendalam sebelum memutuskan bahawa pengurangan yuran tidak wajar dilaksanakan.
“Jumlah kewangan yang terlibat lebih sesuai dimanfaatkan untuk menampung keperluan pembaikan fasiliti, khususnya berkaitan kemudahan air di dalam kampus. Penyelesaian terhadap isu air adalah lebih berimpak besar dan memberi manfaat jangka panjang berbanding pengurangan yuran yang bersifat sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UMS komited memastikan mahasiswa dapat belajar dalam keadaan kondusif dan selesa dengan mengambil langkah menyeluruh bagi mengatasi isu bekalan air.
Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan kewangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan serta kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kontraktor penyelenggaraan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembinaan sistem rawatan air bawah tanah (tubewell), pemasangan tangki simpanan air tambahan di lokasi strategik, pengagihan air secara berkala ke kolej kediaman melalui lori tangki, pembelian air minuman untuk diagihkan kepada pelajar serta pemantauan bersepadu bersama JANS terhadap sistem bekalan air.
“Usaha ini membuktikan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara sepanjang tempoh krisis air berlaku,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan berkaitan yuran dan fasiliti adalah di bawah bidang kuasa universiti melalui Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta Lembaga Pengarah Universiti.
“Oleh itu, isu ini ditangani secara langsung oleh pihak universiti dengan sokongan berterusan daripada KPT. Malah, yuran pengajian di UMS telah diberi subsidi melebihi 90 peratus oleh kerajaan, manakala baki yang dibayar mahasiswa adalah pada kadar amat minimum berbanding kos sebenar pengajian,” katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak memberi pengurangan tambahan adalah selaras dengan usaha memastikan dana universiti digunakan untuk menambah baik fasiliti yang lebih mendesak serta memberi manfaat kepada semua pelajar.
Sehubungan itu katanya, Menteri Pendidikan Tinggi tidak wajar dipersalahkan dalam hal ini memandangkan kementerian sentiasa memberi perhatian dan bantuan, khususnya dalam menangani isu bekalan air di UMS.
“UMS amat menghargai perhatian serta sokongan kementerian terhadap kebajikan mahasiswa. Kami menyeru agar semua pihak terus memberi kerjasama dan menyalurkan pandangan melalui saluran yang betul supaya usaha membaik pulih infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Dr. Kasim turut menegaskan bahawa dengan kerjasama erat antara mahasiswa, pengurusan universiti dan kementerian, kesejahteraan seluruh kampus dapat dipertingkatkan.
































