Azalina Othman Said
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI bersetuju secara prinsip melaksanakan pengasingan sepenuhnya antara peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi perundangan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan bersejarah itu dimuktamadkan.
Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) kelmarin, pengasingan penuh ini bermaksud kedua-dua jawatan tersebut diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan berkenaan diambil selepas kerajaan meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif, yang dipengerusikan oleh Azalina sendiri.
Sehubungan itu, pindaan terhadap beberapa peruntukan utama Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa sendiri.
Selain itu, kerajaan juga akan menggubal Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta berkaitan.
Pada masa yang sama, satu akta baharu mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut akan diwujudkan, sepertimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Bagi tujuan tersebut, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh BHEUU bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan semua aspek pelaksanaan.
Antara yang akan diteliti termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan sebelum syor lengkap dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.
Dengan langkah ini, kerajaan yakin pelaksanaan pengasingan tersebut dapat dijalankan secara menyeluruh dan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang negara.
Reformasi besar ini dilihat sebagai usaha holistik di bawah kerangka Kerajaan MADANI untuk mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.


































