Redonah bergambar bersama penduduk Kampung Nalapak, Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Seramai 30 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Nalapak menerima sumbangan bakul makanan menerusi program Ziarah Kasih yang diketuai Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sahaja menyantuni keluarga penerima, malah turut menjadi platform mendekatkan hubungan kepimpinan wanita dengan masyarakat akar umbi.
Redonah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan inisiatif tersebut.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan kita, tetapi juga memperlihatkan kekuatan sikap keprihatinan serta komitmen bersama dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan program sebegini bagi memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir, khususnya ketika berdepan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Menurutnya, sokongan moral dan perhatian adalah sama penting dengan bantuan berbentuk material.
Program Ziarah Kasih turut diserikan dengan kunjungan mesra ke beberapa rumah penerima, sekali gus memberi peluang untuk mendengar sendiri cabaran dan keperluan mereka. Pendekatan ini menjadikan sumbangan lebih bermakna kerana ia disampaikan bersama rasa empati dan kesedaran.
Dengan kerjasama erat daripada jentera wanita di peringkat bahagian, Ziarah Kasih di Kampung Nalapak berjaya mengukuhkan nilai kepedulian sosial serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Program ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama menghulurkan bantuan dan menyemai budaya prihatin demi kesejahteraan bersama.


































