KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun istimewa sebanyak 50 peratus bagi bayaran saman trafik melalui aplikasi MyBayar PDRM bermula 31 Ogos hingga 16 September ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tawaran itu hanya sah untuk warganegara Malaysia yang menggunakan MyDigital ID ketika membuat pembayaran.
“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyBayar PDRM melalui portal rasmi https://mybayar.rmp.gov.my atau di Google Play, App Store dan AppGallery untuk memudahkan urusan pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang transaksi pembayaran saman dilakukan melalui e-mel, sebaliknya semua urusan sah hanya dibuat menerusi aplikasi dan portal rasmi MyBayar PDRM.
“Orang ramai diingatkan agar berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau phishing. PDRM tidak pernah menghantar pautan pembayaran saman melalui e-mel,” jelasnya.
Kasim berkata, kempen diskaun itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat menyelesaikan saman trafik dengan kadar bayaran lebih rendah serta menggalakkan penggunaan sistem digital.
“Jangan lepaskan peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan lebih mudah dan selamat menerusi aplikasi rasmi MyBayar PDRM,” katanya.
































