KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun kerana disyaki mengugut seorang pakar patologi Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penahanan itu dibuat pada jam 7 pagi hari ini di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Katanya, siasatan dijalankan selepas pihak polis menerima laporan pada 5 September mengenai kenyataan berunsur ugutan jenayah yang dimuat naik menggunakan akaun Facebook “Amung Kamaruddin”.
“Kenyataan tersebut berbentuk ugutan terhadap seorang pakar patologi Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi milik suspek.
“Semakan awal mendapati suspek adalah pemilik akaun Facebook berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan,” jelasnya.
Jauteh turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.
“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut,” tegasnya.


































