TUARAN: Lima lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah lori treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan Rela Tuaran, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.09 petang sebelum sebuah jentera FRT bersama sembilan anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 29 kilometer.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 2.50 petang, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah MPV yang bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Terdapat enam mangsa terlibat. Lima lelaki yang menaiki MPV tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa yang dikeluarkan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi yang diketuai Komander Operasi PBK I Masri Gari tamat sepenuhnya pada jam 3.20 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Turut membantu di lokasi adalah anggota polis dan pasukan perubatan KKM.






























