KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 35 tahun cedera selepas terjatuh di atas bumbung sebuah kereta di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.54 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh tiga kilometer.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 12.01 tengah hari, didapati seorang lelaki terjatuh di atas bumbung sebuah kereta.
“Pasukan operasi bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa berusia 35 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan.
Operasi yang diketuai Komander Operasi PBK I Masri Gari itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari setelah keadaan disahkan selamat.
Turut membantu di lokasi ialah anggota polis dan petugas perubatan KKM.


































