Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Pakar Patologi, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu akan menjadi saksi pertama dalam inkues berkait kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Dr. Jessie merupakan salah seorang daripada empat pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat mayat remaja berkenaan selepas kuburnya digali semula.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Berikutan itu, pada hari berikutnya, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke HQE I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi 10 Ogos lalu di tanah perkuburan sama.
Inkues akan bermula secara rasminya pada pukul 2 petang ini.
Secara keseluruhan, seramai 68 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan. Daripada jumlah tersebut, seramai 38 orang merupakan saksi bawah umur.
Mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar dan ada merupakan rakan Zara Qairina (bukan dari sekolah sama).
Pada prosiding hari ini juga, Koroner Amir Shah Amir Hassan menetapkan 11 September ini untuk kesemua pihak terlibat melawat sekolah berkenaan bagi melihat sendiri lokasi kejadian.
Terdahulu, Amir Shah menetapkan beberapa garis panduan prosiding berkenaan.
Antara garis panduan yang dinyatakan prosiding inkues membabitkan saksi kanak-kanak akan dijalankan secara tertutup.
“Inkues akan dijalankan setiap hari sehingga ke penghujungnya,” kata Amir Shah.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner telah menetapkan 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30 September ini untuk prosiding inkues.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 17 Julai. Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.































