Landskap menakjubkan menjadikan Iceland kekal sebagai negara paling aman di dunia tahun ini.
CANBERRA: Iceland, negara Nordik yang terkenal dengan gunung berapi, mata air panas dan landskap menakjubkan sekali lagi dinobatkan sebagai negara paling aman di dunia oleh Indeks Keamanan Global (GPI) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, indeks yang diterbitkan oleh Institute for Economics & Peace (IEP) itu menilai 163 negara dan wilayah merdeka berdasarkan beberapa kriteria termasuk keselamatan masyarakat, tahap konflik domestik serta antarabangsa dan kadar ketenteraan.
Iceland turut berada di kedudukan ketiga dalam World Happiness Report sebagai antara negara paling bahagia di dunia, selain menjadi destinasi pelancongan paling diidamkan di Hemisfera Utara.
Turut tersenarai dalam lima teratas negara paling aman ialah Ireland, New Zealand, Austria dan Switzerland.
Menurut laporan GPI, kunci kepada keamanan dalam era konflik dan ketidaktentuan adalah Positive Peace iaitu sikap, institusi dan struktur yang mewujudkan serta mengekalkan masyarakat aman.
Positive Peace berkait rapat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi, kadar faedah lebih rendah, kesejahteraan masyarakat dan daya tahan terhadap kejutan ekonomi atau sosial.
Sejak indeks itu diperkenalkan pada 2008, skor purata negara dunia merosot sebanyak 5.4 peratus, manakala jurang antara negara paling aman dan paling bergolak meningkat 11.7 peratus.
Buat pertama kali, Russia disenaraikan sebagai negara paling tidak aman di dunia, diikuti Ukraine.
Amerika Syarikat berada di kedudukan 128 di bawah Honduras, Bangladesh dan Uganda serta lebih hampir dengan negara-negara kurang aman seperti Korea Utara (149) Israel (155), Ukraine (162) dan Russia (163).


































