PETALING JAYA: Sebanyak 917,350 saman samandikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemandu tanpa lesen sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2023 hingga tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, daripada jumlah itu, sebanyak 16,628 saman dikeluarkan kepada ibu bapa atau penjaga yang membiar atau membenarkan anak atau pemandu bawah umur memandu tanpa lesen di jalan raya.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, sebanyak 329,188 saman pada tahun 2023 manakala 367,856 (2024) dan 220,306 setakat tahun ini.
Saman pemandu tanpa lesen memandu sah boleh dikenakan kompaun atau membawa kepada hukuman mahkamah, bergantung kepada kesalahan dan tempoh pembayaran.
Pemandu yang didapati bersalah boleh didenda dan atau dipenjarakan tidak melebihi RM2,000 atau tiga bulan, manakala pemilik kenderaan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, terdapat segelintir ibu bapa yang meremehkan undang-undang dan tidak mementingkan keselamatan anak terutama berkaitan peraturan jalan raya.
Ekoran itu, beliau beranggapan mereka yang membenarkan anak menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen ini sebagai satu bentuk pengabaian serius.
Mohd. Yusri berkata, ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak bawah umur memandu atau menunggang tanpa lesen sah boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas bukan hanya membabitkan kesalahan trafik tetapi juga aspek pengabaian tanggungjawab terhadap anak.
“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membenarkan individu tanpa lesen memandu kenderaan yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau keduanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 26(1) akta sama bagi individu memandu tanpa lesen, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM1,000 (RM2,000 bagi kes berulang) atau penjara tiga bulan.
“Ibu bapa juga boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada risiko yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman yang lebih tegas wajar dikenakan kepada ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur memandu tanpa lesen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Yusri berkata, tindakan segelintir ibu bapa atau penjaga memilih jalan pintas bagi memudahkan tugas harian dengan menyuruh anak menunggang atau memandu ke kedai berhampiran bukan saja melanggar undang-undang tetapi meningkatkan risiko kemalangan maut atau kecederaan parah kepada anak mereka dan pengguna jalan raya lain.
Katanya, mereka ini beranggapan bahawa lesen memandu hanyalah formaliti sedangkan ia dikeluarkan serta ilmu dan latihan pemanduan.
Tambahnya, tindakan membenarkan anak memandu tanpa lesen bukan sekadar kesalahan teknikal malah boleh membentuk corak pemikiran dan tingkah laku jangka panjang yang berisiko tinggi terhadap masa depan mereka.
“Kajian menunjukkan remaja yang mula melanggar undang-undang sejak awal lebih cenderung terbabit kesalahan berulang seperti lumba haram, dadah atau kecurian kerana mereka mungkin membentuk identiti sosial yang berkait dengan kumpulan berisiko tinggi.
“Selain itu, kajian psikologi turut menunjukkan bahawa pelanggaran undang-undang kecil yang dibenarkan oleh ibu bapa boleh menjadi gateway kepada kesalahan lebih serius.
“Ini kerana mereka ini sering bergaul dengan kumpulan yang mengamalkan tingkah laku berisiko seperti lumba haram, vandalisme atau penyalahgunaan dadah. Anak turut belajar bahawa undang-undang boleh dilanggar jika tidak kena tangkap dan mereka mungkin membesar dengan sikap yang tidak hormat terhadap peraturan seperti disiplin sekolah, etika kerja atau undang-undang negara,” katanya.






























