FLORIDA: Seorang wanita berusia 35 tahun ditahan kerana didakwa melakukan prosedur pergigian tanpa lesen, termasuk memasang veneer menggunakan gam kuat yang dibeli di kedai.
Menurut Utusan Malaysia, pendakwa raya berkata, suspek dikenali sebagai Emely Martinez mempromosikan dirinya sebagai ‘pakar senyuman’ di media sosial, menawarkan rawatan veneer penuh mulut pada harga jauh lebih murah berbanding klinik pergigian bertauliah.
Sebagai perbandingan, kos veneer bagi sebatang gigi di klinik sah mencecah antara AS$900 (RM3,802) hingga AS$1,500 (RM6,337), namun Martinez dilaporkan hanya mengenakan caj sekitar AS$2,500 (RM10,562) bagi keseluruhan mulut. Tawaran itu menyebabkan ramai pelanggan terpedaya tanpa menyemak kelayakan sebenar wanita berkenaan.
Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan mendakwa gigi mereka rosak teruk, dijangkiti kuman serta mengalami kesakitan selepas mendapatkan rawatan tersebut.
Martinez yang beroperasi dari sebuah kedai di Pinellas Park, Florida, mengaku sebagai juruteknik pergigian walaupun tidak memiliki latihan formal. Penipuannya terbongkar selepas dua pelanggan membuat aduan pada musim panas lalu kerana mengalami kerosakan serius pada gigi.
Hasil pemeriksaan doktor gigi mendapati veneer mereka dipasang menggunakan Krazy Glue, sejenis gam kuat yang sama sekali tidak sesuai untuk kegunaan perubatan. Malah, salah seorang mangsa terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk membetulkan kerosakan tersebut. Mereka juga mendakwa Martinez enggan memulangkan wang dan menolak untuk bertanggungjawab.
“Dia tiada berlesen untuk memasang veneer atau tiada pendidikan atau latihan dalam bidang itu. Di Florida, anda wajib mempunyai lesen untuk melakukan sebarang rawatan pergigian,” kata Sarjan Windy Vater dari Jabatan Polis Pinellas Park.
Martinez ditahan pada 20 Ogos lalu, namun siasatan mendapati ini bukan kali pertama wanita itu berdepan undang-undang. Pada Mac tahun ini, dia pernah ditangkap atas kesalahan sama di sebuah daerah lain di Florida.
Kini, Martinez berdepan pertuduhan penipuan serta menjalankan amalan pergigian tanpa lesen aktif.
Florida sebelum ini juga pernah mencatatkan kes penipuan perubatan, termasuk penahanan Malachi Love-Robinson, 18 tahun, dari West Palm Beach kerana membuka klinik palsu tanpa kelayakan.


































